Tuesday, February 22, 2011


JASIN: Kerajaan Melaka bersetuju membiayai tiket penerbangan 241 pelajar dari negeri ini untuk pulang ke Mesir bagi menyambung pengajian di negara itu sebaik keadaan pulih seperti sedia kala.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata Yayasan Melaka sudah diarah untuk menguruskan perjalanan pulang semua pelajar terbabit.
"Dalam pertemuan dengan pelajar terbabit baru-baru ini, kerajaan negeri memutuskan untuk menanggung sepenuhnya tiket kapal terbang mereka untuk pulang ke Mesir bagi menyambung pengajian masing-masing.
Bagaimanapun, pemberian wang perbelanjaan masih belum diputuskan lagi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan projek pembangunan tanaman getah di tanah terbiar di Jalan Loji Air, Kampung Chinchin dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan negeri akan menanggung kos tiket kapal terbang pelajar negeri ini untuk pulang ke Mesir seperti diumumkan kerajaan Pahang, kelmarin.

Mohd Ali berkata, Yayasan Melaka akan mengadakan rundingan dengan tiga syarikat penerbangan iaitu Saudi Airlines, Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan tawaran paling rendah.

“Saya dimaklumkan, ada pelajar yang mahu pulang segera ke Mesir tetapi kita tidak mahu mengambil risiko. Proses penghantar pelajar dari negeri ini bergantung kepada kebenaran kerajaan di sana.
"Saya difahamkan, pelajar akan mula menduduki peperiksaan pada Mac. Soal sama ada mereka perlu pulang segera atau sebaliknya, bergantung kepada keadaan di Mesir, selain kelulusan Kementerian Luar dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi menghantar beberapa pegawainya ke Mesir selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengadakan rundingan dengan universiti di negara itu berhubung kedudukan penuntut Malaysia yang terjejas berikutan krisis politik di negara berkenaan

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.