Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.
Hujung minggu yang lalu, bertarikh 24 Februari 2012 hingga 25 Februari 2012, Unit Aktiviti Luar MM Tanta telah merancang satu jaulah ke Balteem yang diberi nama Hi-Jack Balteem 2012. Program yang diadakan di Pantai Balteem, Kafr El Sheikh ini dinamakan Hi-Jack adalah berikutan pertukaran plan asal ke Gunung Sinai atas sebab-sebab keselamatan. Alhamdulillah, program yang dirancang selama sehari ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya dengan kerjasama semua AJK, peserta dan bantuan Ummi juga khususnya.
Program yang berjalan selama 2 hari ini diadakan bertujuan untuk merapatkan lagi ukhuwah sesama pelajar dan juga sebagai satu 'hadiah' buat pelajar yang telah bertungkus lumus sepanjang tempoh sebulan imtihan. Perjalanan ke Balteem dari Tanta mengambil masa lebih kurang 2 jam dengan menaiki 2 buah bas yang memuatkan seramai 56 orang peserta ikhwah dan 44 orang peserta akhawat. Sepanjang perjalanan, para peserta disajikan dengan pemandangan yang sangat indah dan menyejukkan mata memandang sekaligus memberikan ketenangan kepada para peserta setelah sebulan menelaah pelajaran.
Setibanya di Balteem, para peserta dibahagikan mengikut penempatan masing-masing dan ditempatkan berasingan antara ikhwah dan akhawat. Walaupun pada mulanya cuaca di Balteem sedikit hujan, namun sebaik sahaja para peserta hendak memulakan aktiviti permainan, cuaca mulai cerah. Pada malamnya, para peserta ikhwah melakukan aktiviti BBQ mengelilingi unggun api di tepi pantai, manakala para peserta akhawat disajikan dengan persembahan malam kebudayaan dan BBQ di penempatan mereka. Turut mengiringi jaulah kami adalah pasangan suami isteri, Ustaz Abdul Haris Bain dan Ustazah Rosmawati beserta keluarga yang turut sama memberi sedikit pengisian kepada para peserta semasa jaulah.
Keesokan paginya, para peserta mengadakan qiam beramai-ramai di penempatan masing-masing dan aktiviti diteruskan lagi dengan permainan di pantai buat terakhir kalinya sebelum para peserta pulang ke Tanta. Namun para pelajar Pergigian telah pulang pada jam 9.00 pagi kerana perlu menghadiri kelas pada hari itu. Seusai sahaja solat Zuhur, para peserta berkemas dan bersiap sedia untuk meninggalkan penempatan dan menaiki bas untuk pulang ke Tanta. Terpancar di wajah para peserta kepuasan dan kegembiraan sepanjang program berjalan. Walaupun keberatan untuk meninggalkan Balteem, namun para peserta tetap perlu pulang demi meneruskan perjuangan sebagai seorang bakal doktor. Alhamdulillah, kesemua rombongan jaulah selamat tiba di Tanta pada jam 3.00 petang.
Di kesempatan ini, pihak AJK Hi-Jack Balteem 2012 ingin mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada Ummi yang memberikan sokongan dari jauh, seterusnya kepada semua peseta yang memberikan kerjasama sepanjang jaulah dan semua pihak yang telah bertungkus lumus turut serta membantu menjayakan program jaulah ini sama ada secara langung atau tidak. Jutaan maaf juga dipohon andai ada kekurangan dan kelemahan sepanjang program ini dijalankan. Di harap program seperti ini dapat dijalankan lagi dengan lebih cemerlang dan gemilang. Akhir kata, semoga ukhuwah yang dibina sepanjang program berkekalan hingga ke syurga.
dari meja Setiausaha MMtanta
0 comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.