Thursday, April 5, 2012



Tanta, 3 April 2012 – “Saya nak buktikan orang islam boleh maju”, kata Prof. Madya Dr Harlina Halizah Haji Siraj,Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi UKM. Kata-kata itulah yang menjadi pembakar semangat beliau sejak zaman sekolah yang membimbing diri beliau menjadi seorang yang sangat positif dan menjadi doktor islam yang berjaya sebagaimana beliau hari ini. Kedatangan beliau ke Mesir adalah untuk menjayakan program STEP(Sliding Through Experience as Professionals) yang bakal berlangsung di Al-Azhar Conference Centre, Cairo, pada Jumaat,6 April nanti anjuran Education Malaysia Egypt, Kelab Ikram Mesir dan Medic Mesir yang juga bakal disertai hampir 1200 orang pelajar jurusan perubatan dan agama dari seluruh Mesir.


Namun, beliau sempat membuat kunjungan istimewa ke bumi Tanta demi bersua muka dengan anak-anak pelajar Medik di sini, untuk membakar semangat atma-atma pejuang agama supaya lebih bertenaga dalam jihad menuntut ilmu dan mencari redha-Nya. “A Glimpse Through Medichood, slot pendek selama 2 jam yang dijalankan di Dewan Kuliah Anatomi Universiti Tanta itu lebih tertumpu pada usaha merealisasikan kecemerlangan diri dan organisasi dalam perjuangan melahirkan doktor muslim yang hebat.


Antara intipati program bersama beliau itu, beliau banyak berkongsi tentang kehidupan manusia dan beberapa noktah asas sebagai kayu asas kejayaan serta usaha menggapai kejayaan dunia dan akhirat. Sebagai seorang yang berfikiran jauh, beliau cuba untuk mencungkil kesedaran setiap yang hadir untuk mengasah potensi diri masing-masing untuk berusaha menjadi doktor muslim yang berjaya dan dapat menyumbang untuk ummah suatu hari nanti.


Beliau mengingatkan semua pelajar bahawa “Kemenangan itu hanya dari sisi Allah”, dan sebagai seorang mu’min, kita wajib sedar dan yakin dengan ketentuan Allah swt. Sebagaimana firman Allah swt dalam al-Quran yang bermaksud,


“Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu, jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Karena itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakal" ( surah Al-Imran 3:160)


Tawakal merupakan kunci kejayaan buat mu’min di mana kita semua perlu yakin dengan Qada dan Qadar Allah swt. Alhamdulillah, walaupun program yang berlangsung itu singkat, namun kata-kata beliau cukup memberi kesan kepada semua yang hadir. Moga semangat doktor muslim yang positif dalam diri Dr Harlina mampu mengalir dalam jiwa bakal-bakal doktor yang hadir demi merealisasikan kecemerlangan dunia dan akhirat.

Oleh : Nurul Athirah Zulkifli

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.