Wednesday, July 18, 2012


Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana dengan izinNya jaulah Kembara Cinta Illahi (KCI) Sinai 2012 telah selamat dijalankan dengan jayanya bermula dari 13/7/2012-16/7/2012. Pada mulanya pihak penganjur menjangkakan akan bertolak dari Tanta ke Sinai pada malam 13/7/2012. Namun begitu, ternyata berurusan dengan orang Arab memang banyak dugaannya. Atas sebab-sebab teknikal, jaulah ditangguhkan sehari dan perjalanan dimulakan pada pagi 14/7/2012. Ternyata jaulah yang telah dirancang seawal selepas peperiksaan Mid Term ini menuntut semangat yang tinggi untuk menjayakannya. Tahniah diucapkan kepada saudara Pengarah Program, Wan Arham Rahimi bin Wan Kamarudin dan seluruh jawatankuasa pelaksana program KCI ini yang telah bertungkus lumus membuat persiapan dan seterusnya menjayakan program yang julung kali diadakan oleh Medic Mesir Tanta. Jutaan terima kasih yang tak terhingga juga diucapkan kepada Ummi Medic Mesir, Puan Siti Haniza yang telah menaja sepenuhnya jaulah ini bagi pelajar yang menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan. Dan tidak lupa juga jutaan terima kasih buat ketua rombongan iaitu Ustaz Faizal Sabhon yang banyak membantu pihak penganjur menjayakan program KCI ini. Berikut merupakan sedikit perkongsian perjalanan jaulah KCI Sinai 2012.

Hari Pertama, 14/7/2012
Jaulah KCI ini telah disertai oleh 36 orang ikhwah dan 48 orang akhawat. Perjalanan jaulah telah dimulakan pada 14/7/2012 jam 3.00 pagi dengan 2 buah bas. Tempat pertama yang dilewati oleh para peserta adalah Terusan Suez. Para peserta telah dibawa melalui terowong yang berada di bawah paras laut. Terusan Suez merupakan lalulan perdagangan yang sangat penting dan merupakan antara sumber pendapatan bagi Mesir. Selepas melalui Terusan Suez, ini bermakna kita telah berada di bahagian Asia Mesir. Menurut Ustaz Faizal, Mesir dari sudut geografinya telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Afrika Mesir dan Asia Mesir. Dan Sinai terletak di bahagian Asia Mesir. Melalui jalan yang telah dibina oleh Israel semasa Sinai dijajah Israel, para peserta dapat menikmati pemandangan padang pasir dan batu-batuan yang sangat cantik. Perjalanan diteruskan menuju ke Taba. Setibanya di Taba, para peserta telah melalui Kubu Salehudin Al Ayubi yang dahulunya dibina untuk melindungi jemaah haji daripada serangan tentera Salib yang berkubu di Jerusalem. Di Taba para peserta dapat melihat sempadan 3 buah negara melalui pelabuhan Negara masing-masing iaitu Arab Saudi, Jordan dan Palestin.

Seterusnya, para peserta dibawa melalui sempadan atau pintu masuk ke Palestin yang paling selamat. Kelihatan di puncak kawasan ini bendera Israel dan Mesir berkibar. Perjalanan diteruskan lagi melalui persisiran pantai dan menuju ke Nuweiba’ dan akhirnya menuju ke Dahab. Sepanjang perjalanan di persisiran pantai, para peserta telah menikmati pemandangan Laut Merah yang dahulunya telah dibelah oleh Nabi Musa semasa baginda dikejar Firaun dan pengikutnya. Subhanallah, kejernihan laut ini amat menakjubkan dan memukau mata yang memandang. Setibanya di Dahab, urusan check in hotel telah dibuat dan para peserta berehat dari perjalanan selama 12 jam di dalam bas. Tiada apa-apa aktiviti dilakukan malam itu kerana memberi peluang kepada para peserta untuk berehat secukupnya.
Terowong Terusan Suez
Kubu Salehudin

Hari Kedua, 15/7/2012
Hari kedua jaulah dimulakan dengan solat Subuh berjemaah di dataran hotel dan diikuti dengan tazkirah oleh Akh Azizul Hakim. Seusai sarapan pagi, para peserta akhawat telah bersedia untuk aktiviti ATV manakala para peserta ikhwah tinggal di hotel bagi menyediakan bahan masakan untuk makan tengah hari. Aktiviti ATV bagi kumpulan pertama terdiri daripada separuh peserta akhawat. Selepas mendengar taklimat mengenai cara-cara menunggang ATV, para peserta akhawat menaiki ATV dan dibawa ke perkampungan Arab Badwi. Di perkampungan itu, para peserta dijamu dengan air teh yang disediakan oleh penduduk kampung tersebut. Dalam perjalanan pulang semula ke hotel, para peserta telah dibawa menyusuri pantai Dahab yang sangat memukau mata memandang. Setibanya di hotel semula, para peserta telah berehat, menikmati makan tengah hari dan solat Zuhur. Pada sebelah petang, aktiviti diteruskan lagi dengan acara Snorkelling dan Banana Boat.

ATV
Pada malam hari pula, para peserta meneruskan aktiviti jaulah iaitu menawan Jabal Musa. Tepat jam 10.00 malam, urusan check out dilakukan dan para peserta bersiap sedia menaiki bas untuk acara kemuncak jaulah. Perjalanan ke Jabal Musa telah mengambil masa selama 3 jam. Pada jam 12.00 tengah malam, rombongan jaulah tiba di kaki Jabal Musa. Jabal Musa atau nama lainnya St. Catherine merupakan tempat Nabi Musa bermunajat kepada Allah selama 30 hari. Semasa aktiviti pendakian Jabal Musa dijalankan, suasana sangat gelap dan para peserta ditemani hanya dengan cahaya lampu suluh dan bintang-bintang yang bergemerlapan di langit. Kebiasaannya, pendakian mengambil masa selama 3 jam atau lebih. Tetapi berkat kecekalan dan semangat para peserta, Jabal Musa telah ditawan dalam masa 2 jam. Para peserta telah berpeluang untuk menunaikan solat Subuh di lereng-lereng bukit kerana tidak sempat sampai di puncak sebelum waktu solat Subuh. Semasa di puncak, para peserta telah berpeluang menikmati saat matahari terbit sambil bergambar bersama-sama. Jabal Musa yang berketinggian 1000 kaki ini mula ditinggalkan oleh para peserta pada jam 9.30 pagi bagi meneruskan aktiviti jaulah yang seterusnya.

Jabal Musa (ikhwah)
Jabal Musa (akhawat)

Pantai Dahab
Pantai Dahab
Hari Ketiga, 16/7/2012

Semasa dalam perjalanan meninggalkan Jabal Musa, para peserta telah menyaksikan bekas peninggalan Lembu Samiri yang telah disembah oleh pengikut Nabi Musa kerana telah terpengaruh dengan hasutan seorang pendusta yang mendakwa Nabi Musa telah melupakan pengikutnya kerana tidak muncul selepas 30 hari bermunajat di Jabal Musa. Seterusnya para peserta melalui makam Nabi Harun dan Nabi Saleh. Perjalanan pulang diteruskan setelah melawat beberapa tempat bersejarah yang menyimpan 1001 ibrah dan sejarah. Para peserta selamat tiba di Tanta pada jam 2.00 pagi.

Lembu Samiri
Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas peluang berjaulah dan menyusuri sirah yang ditinggalkan buat kita untuk diambil pengajaran dan ibrah. Semoga jaulah ini dapat mengeratkan ukhuwah di antara para peserta dan sedikit sebanyak dapat menyediakan kita dalam menyambut ketibaan Ramadan tidak lama lagi. Sekali lagi jutaan terima kasih diucapkan kepada Ummi Medic Mesir, Ustaz Faizal, seluruh jawatakuasa pelaksana program, para peserta dan juga semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak. Semoga Allah memberkati jaulah ini dan jaulah ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Gambar-gambar jaulah boleh dilihat di Facebook Tanta Medic Mesir.






-mediaKCI2012-

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.