Wednesday, January 4, 2012

Tanta, 4 Januari 2012 - Semalam, wakil daripada MedicMesir Tanta; Ahmad Samhan Awang, Izzuddin Azaharuddin dan Amalia Nadrah Samsuri telah membuat satu pertemuan dengan Dekan, Tanta University berkenaan isu kupon makanan yang sedang hangat diperkatakan. Sebelum ini, dilaporkan pihak universiti telah mengeluarkan arahan bahawa tiada kupon makanan akan diberikan kepada para pelajar selagi yuran pengajian tidak dijelaskan bermula minggu hadapan. Dimaklumkan bahawa tarikh tutup bagi pembayaran yuran pelajar Tahun 3,4,5,6 adalah pada 22 Januari 2012 dan 22 Februari 2012 bagi pelajar Tahun 1 dan 2.

Dr. Howaida, Koordinator Pelajar Malaysia, menjelaskan bahawa arahan tersebut dikeluarkan daripadanya kerana daripada seramai 800 orang pelajar Malaysia di Tanta University yang merangkumi pelajar Tahun 1 hingga Tahun 6, hanya seramai 20 orang pelajar sahaja yang telah menjelaskan yuran. Ini menimbulkan masalah dalam berurusan dengan pihak dewan makan kerana tiada wang yang dapat digunakan untuk membayar perkhidmatan mereka.

Dr. Howaida juga mengatakan bahawa beliau telah berurusan dengan pihak Kedutaan Malaysia mengenai pembayaran yuran para pelajar. Namun begitu, pihak Kedutaan tidak dapat memberikan sebarang maklumat kerana mereka tidak terlibat dalam pembayaran yuran pengajian.

Pihak MedicMesir Tanta telah menjelaskan bahawa pembayaran yuran adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Malaysia iaitu melalui tajaan atau pinjaman sama ada daripada pihak JPA, MARA, mahupun bantuan daripada negeri masing-masing. Jadi, kemampuan untuk menjelaskan yuran pengajian bagi setiap pelajar adalah berbeza mengikut tajaan atau pinjaman pelajar tersebut.

Hasil daripada rundingan pihak MedicMesir Tanta bersama pihak universiti, Dr. Howaida meminta agar para pelajar dapat berbincang mengenai pembayaran yuran seperti merujuk isu ini kepada pihak penaja atau peminjam masing-masing dan memberikan beliau satu resolusi bagi memastikan semua pelajar dapat menjelaskan yuran sebelum tarikh yang ditetapkan agar tidak menimbulkan masalah pada masa akan datang. Beliau akan menimbang tara semula arahan yang dikeluarkan ini setelah mendapat resolusi daripada para pelajar nanti.

Oleh itu, menjadi harapan kami agar semua pelajar terutamanya yang telah mendapat tajaan, khususnya Tahun 3, 4, 5, dan 6 untuk memberikan kerjasama dengan mempercepatkan pembayaran yuran masing-masing. Ini adalah kerana dengan pembayaran oleh pihak seniors yang telah mendapat tajaan, maka pihak universiti tidak begitu mendesak pelajar-pelajar terutamanya Tahun 2 yang masih belum mendapat tajaan dan menunggu JPA dan MARA yang akan buka semula tidak lama lagi. InshaAllah.


Sekian.
Unit Media MMtanta

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.