Saturday, March 9, 2013


Bismillahirrahmanirrahim.



Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana dengan izinNya Syahadatul Haq atau lebih dikenali sebagai "SH" telah selamat dijalankan dengan jayanya pada 8 Mac 2013 bagi akhawat Tanta khususnya untuk pelajar Tahun 1. 

     Program ini bermula seawal 7.30 pagi dimana pelajar mula mendaftarkan diri.Lebih kurang 50 orang peserta yang melibatkan diri dalam program ini. Setiap para peserta akan dibekalkan dengan sedikit makanan serta risalah mengenai Terjemahan Syahadatul Haq- Penyaksian Terhadap Kebenaran oleh Syeikh Abul Al-A'la al Maududiyy. Pada pukul 8.30 pagi program ini dimulakan dengan nyanyian Asmaul-Husna dan bacaan doa untuk mendapat keberkatan Allah. Para peserta diminta untuk menyanyi lagu tema iaitu "Tekad". Kemudian,diteruskan oleh pertama yang disampaikan oleh Dr. Nadhirah Latif pelajar perubatan Tanta tahun 2. Tajuk ucapan beliau mengenai pengenalan mengenai Syeikh Abul Al-A'la al Maududiyy. Sedikit ilmu yang boleh dikongsi daripada slot 1.

     Beliau merupakan seorang ‘alim, malah seorang pemikir Islam kontemporari yang terulung serta pengasas al-Jama’ah al-Islamiyyah di Benua India. Namanya adalah Abu al-‘A’la al-Maududi dan dilahirkan di Uranj Abad di wilayah Haider Abad pada tahun 1321 H ( 1903 M ). Syeikh al-Maududi merupakan keturunan salah seorang dari perawi hadith yang dinamakan Maudud. Beliau telah datang ke India dalam rombongan tentera Muhammad al-Qasim ath-Thaqafi. Semenjak kecil Syeikh al-Maududi telah melibatkan diri dalam gerakan Islam di India ketika itu yang sentiasa memperjuangkan hak asasi orang Islam. Beliau juga bekerja dalam bidang kewartawanan dan terlibat sebagai wartawan dan editor di akhbar seperti ‘Jabal Nur’, ‘Delhi’, ‘Haidar Abad’. 




     Syeikh al-Maududi telah mengarang banyak kitab terutamanya dalam lapangan pemikiran Islam. Bahkan pemikirannya hampir sama dengan pemikiran asy-Syahid Hasan al-Banna dan asy-Syahid Dyed Qutb ketika itu, namun kelebihan beliau adalah kerana kajiannya yang mendalam dan ilmiah bahkan kebanyakan penulisannya menjawab terhadap musuh-musuh Islam seperti Yahudi, Nasrani, Hindu, Sekularisme dan Qadiyaniyyah.Beliau telah dipenjarakan beberapa kali selepas terdirinya Negara Pakistan. Bahkan beliau pernah diarahkan untuk dihukum bunuh pada tahun 1953 M namun ini telah menggegarkan Negara dan melibatkan campur tangan ramai ulamak-ulamak besar untuk menghentikan hukuman tersebut. 

     Syeikh al-Maududi juga telah memainkan peranan yang besar dalam menguatkan al-Jama’ah al-Islamiyyah dan meluaskan pengaruhnya dengan kekuatan beliau berhujah dan meyakinkan pihak lain serta dengan pendiriannya yang tegas apabila berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Beliau juga berpandangan agar Pakistan dipisahkan terus dari India supaya umat Islam di India tidak lagi menjadi golongan minoriti dan ditindas dan inilah realiti yang berlaku sekarang.

     Antara kitabnya yang terkenal adalah ‘ar-Riba wal Hijab’ , ‘Dauru Syabab al-Muslim’, ‘al-Usus al-Akhlaqiyyah lil Harakah al-Islamiyyah’, ‘Manhaj Taghyir al-Islami’ , ‘al-Mustolahat al-Arba’ah’. Seterusnya kitab tafsir beliau ‘Tarjaman al-Qur’an’ yang telah diterjemahkan ke beberapa bahasa. 


     Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan Slot 2 yang bertajuk “Penyaksian Terhadap Kebenaran” yang disampaikan oleh Dr.Noor Ameera Bt Rahmat pelajar perubatan Tanta tahun 3.Semasa slot ini, kami dapat banyak input mengenai  tanggungjawab manusia sebagai seorang Islam. Sebenarnya, apa maksud Syahadatul Haq?

    Syahadatul Haq adalah suatu seruan yang dikemukan oleh Sayyid Abu al-A’la al-Maududi dan ditujukan untuk seluruh manusia. Melalui seruan ini beliau menjelaskan pendekatan yang digunakannya bagi mengetengahkan keistimewaan dakwah dan membawa manusia berkongsi bersama segala keindahannya.



Pada pukul 12.00 tengahari, para peserta diberikan masa untuk berehat dan makanan tengahari disediakan oleh pihak penganjur. Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Para peserta akan diberikan tugasan untuk dibincangkan. Sebanyak sepuluh kumpulan berjaya dibentuk dan diketuai oleh seorang naqibah. Kesimpulan daripada pengisian majlis ini, tanggungjawab syahadah dipukul oleh seluruh umat Islam yang beriman dengan risalah Nabi Muhammad s.a.w dan menjadi kewajipan kepada semua untuk menyampaikannya.




“Dan demikianlah (sebagaimanan Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umuat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang member keterangan kepada umat manusia (tentang benar dan yang salah) dan Rasulullah pula akan mnejadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. “ (Al-Baqarah :143)

Program berakhir pada jam 4 petang. Jutaan terima kasih buat semua yang sudi hadir ke majlis Syahadatul Haq. Semoga kita semua dapat mengambil tauladan yang baik daripada pengisian program ini.






0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.