Tuesday, February 11, 2014



Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana dengan izinNya Jaulah Taken’14!Matrouh & Siwa’ 2014 telah selamat dijalankan dengan jayanya. Jaulah dijalankan selama  4 hari bermula 1 Februari  2014 hingga 4 Februari 2014. Jutaan tahniah diucapkan kepada Pengarah Program, Muhammad Ahnaff bin Zahhid dan  Timbalan Pengarah, Nur Ain Farhana binti Aziz pelajar Tahun 2 Perubatan serta seluruh jawatankuasa pelaksana Jaulah TAKEN’14 yang bertungkus lumus menjayakan program yang julung kali diadakan oleh Medic Mesir Tanta.

Terima kasih diucapkan kepada CEO Medic Mesir , Puan Siti Haniza atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Ummi’ dengan murah hatinya telah menaja sepenuhnya jaulah ini bagi pelajar yang telah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Objektif jaulah ini diadakan adalah untuk memperkenalkan Matruh Siwa kepada golongan pelajar dan membuka mata para peserta tentang keindahan alam ciptaan Yang Maha Pencipta serta sedikit sebanyak memberi peluang kepada para peserta melepaskan tekanan selepas peperiksaan pertengahan tahun.Berikut merupakan sedikit perkongsian perjalanan Jaulah TAKEN’14! Matrouh & Siwa’ 2014.

Predeparture , 1/2/2014

            Jaulah TAKEN’14 disertai oleh 47 orang akhawat dan 43 orang ikhwah. Para peserta telah berkumpul di Academic Centre(AC) pada jam 10 malam untuk diberikan taklimat tentang keselamatan, penerangan tentatif serta mengingatkan kempen yang dijalankan sepanjang program berlangsung. Kempen yang dijalankan adalah idea dari saudara Muhammad Taqiyuddin dan saudari Nur Aqilah Syahirah pelajar Tahun 3 Perubatan sebagai Unit Protokol & Pengisian TAKEN’14.


             Kempen yang dijalankan adalah #AQESA yang bermaksud Allah…Qawiyynya Enta/Enti Segan Ana!. Antara kempen yang diadakan ialah 3S (Senyum, Salam, Sapa), Selawat dan Istighfar.

ü  Tajdid niat
ü  3S : berkenalan lebih dekat dengan teman sejaulah .
ü  Selawat : berselawat sebanyak 100x setiap hari sekurang-kurangnya
ü  Istighfar : beristighfar sebanyak 100x setiap hari sekurang-kurangnya

Para peserta juga diedarkan pamplet yang menerangkan tentang sejarah tempat-tempat yang bakal dilawati sepanjang jaulah. Selain itu, kami memberi peluang kepada peserta untuk mengeluarkan idea yang bernas dengan menhasilkan sebuah puisi tentang jaulah matrouh siwa’. Perjalanan jaulah telah dimulakan pada jam 1 pagi dengan 2 buah bas.

  Hari Pertama , 2/2/2014

                Setelah 5 jam di dalam bas kami singgah di masjid untuk menunaikan solat subuh. Kami meneruskan perjalanan kami yang masih berbaki 150 km untuk tiba di Matrouh. Selepas itu kami tiba di Matrouh pada pukul 8.30 pagi. Setibanya di Matrouh para peserta bawa ke pantai untuk sarapan di samping manikmati pemandangan yang sangat osem kurniaan Allah s.w.t.




Tempat pertama yang dilawati oleh para peserta adalah pantai Ajibah. . Majlis pembukaan dimulakan dengan bacaan asmaul husna dan lagu tema. majlis diteruskan dengan ucapan daripada pengarah. Tersentuh hati kami mendengar ucapan daripada pengarah yang mengingatkan kami tentang kebesaran Allah yang diambil dari 99 nama Allah iaitu ‘Al-Kholik’ yang bermaksud Maha Pencipta. Aktiviti di Pantai Ajibah diteruskan dengan games G-Hard, The Hulk dan Rubberman untuk ikhwah dan untuk akhawat ialah Jimbit dan Spongebob. Para peserta diberi peluang untuk mentadabbur alam di samping ‘berselfie’.

                Seterusnya, para peserta dibawa ke Pantai Cleopatra atau nama lainya ‘Hamam Cleopatra’. Ia merupakan tempat mandi Cleopatra yang ditebuk dalam sebuah batu besar.Terdapat dua tebukan di depan dan di belakang hamam untuk air masuk dan keluar mengikut arah ombak. Para peserta terus menunaikan solat jama’ taqdim dan diberi lunch sambil mentadabbur alam. Para peserta berkesempatan untuk mandi di Hamam Cleopatra.  




                       
               Setelah seharian mentadabbur alam kami pulang ke tempat penginapan untuk berehat dan melakukan aktiviti kendiri bagi membuat persediaan untuk aktiviti seterusnya pada malam tersebut. Sungguh menyeronokkan sekali apabila kami ditayangkan  movie yang penuh ibrah sambil menjamu selera BBQ yang dihidangkan. Bukan sahaja perut terisi, hati juga diisi dengan santapan movie yang menyedarkan kita bahawa setiap orang ingin berubah kearah kebaikan dan sangat peting untuk kita selalu positif antara satu sama lain dalam hidup ini. 

Hari Kedua , 3/2/2014

                Keseronokan hari kami bermula dengan melawati tempat bersejarah yang penuh ibrah. Kami melawati Jabal Mauta dengan dengan penuh rasa keinsafan. Jabal Mauta merupakan bukit kematian di mana pembesar-pembesar pada zaman Firaun di kebumikan. Mayat di situ diawet secara semula jadi iaitu pengawetan melalui angin. Makam Si Amon, Raja Greek berketurunan Firaun adalah satu-satunya makam yang dijaga rapi. Bermacam- macam lukisan bercirikan Tamadun Yunani pada bumbung dan dinding-dinding makam. Sangat menakjubkan sekali bila setiap peserta perlu mengharungi bukit yang berliku-liku sebelum berjaya sampai ke puncak. Hati kami tersentuh apabila mendapat pengisian daripada fasi-fasi yang mengaitkan sejarah Jabal Mauta ini dengan tujuan sebenar kita diciptakan dan pengakhiran yang bagaimana yang kita inginkan dimuka bumi ini.





                  Perjalanan kami diteruskan lagi dengan melawati Kuil Amon. Kuil ini dibina oleh Raja Ahmose ke-2 (Amasis). Antara tokoh yang terlibat secara langsung dengan kuil ini adalah Cambyses (Raja Paris) yang menyerang Mesir kerana ingin menghukum paderi-paderi di kuil ini kerana menyatakan bahawa malapetaka akan meimpanya. Ketua Sparta, Lysander pernah ke sini merasuah ‘Tuhan’ Amon yang di sembah di kuil ini. Alexander, pengasas Iskandariah juga pernah kesini.

                  Berbaloi dengan harga dibayar oleh pelajar iaitu sebanyak 15 le, para peserta diberi sedikit perkongsian ilmu mengenai sejarah terbinanya Kuil Amon oleh fasi dimana dikatakan tertimbus sebuah istana di bawahnya dan ahli sejarawan berpendapat bahawa binaan-binaan tiang yang wujud di kuil tersebut adalah dengan mengunakan sihir, memandangkan faktor kekurangan sumber teknologi pada zaman dahulu. Disamping itu, para peserta dapat menikmati pemandangan yang indah dari Kuil Amon ini. Oleh itu, para peserta tidak ingin melepaskan peluang menangkap gambar di sana sini untuk dijadikan sebagai kenangan terindah.



               
                 Kami meneruskan perjalanan kami  selama 30 minit menuju ke Kolam Cleopatra. Tempat ini dinamakan sedemikian bersempena kedatangan permaisuri Cleopatra. Setiap pengantin baru akan mandi di sini, sebagai adat penduduk Siwa terdahulu. Kedalaman kola mini lebih kurang 5 meter. Dikatakan kolam Cleopatra adalah sumber air utama di Siwa dan air kolam itu tidak pernah kering sehingga sekarang. Terdapat juga 2 kolam satu yang besar 7 meter dan yang kecil 5 meter. Tetapi malang tidak berbau kerana kesuntukan masa kami hanya melihat kolam tersebut di dalam bas sahaja dan kami hanya melihat para pelancong yang datang ke situ untuk turun mandi di kolam itu dengan girangnya.

               Seterusnya kami dibawa ke Tasik Garam. Semasa dalam perjalanan ke tasik garam kami diberitahu bahawa terdapatnya Bukit Ad-Dakkror yang menjadi tempat dimana penduduk di situ akan berkumpul pada hari tertentu. Setibanya kami di Tasik Garam kami melihat satu jalan yang seolah-olah tiada penghujung. Tasik ini juga boleh dikatakan sebagai laut kerana keluasannya yang seperti laut dan tidak berpenghujung. Di sini, para peserta diberi peluang untuk merasa sendiri kemasinan air di tasik itu dan melihat garam yang dilihat sebagai pasir sebelum kami sampai di tepi tasik itu.





Setelah berjalan tanpa henti, kami singgah di masjid di Pekan Siwa untuk Solat Jama’ Taqdim dan menyegarkan badan. Para peserta juga diberi makanan tengah hari yang disediadakan oleh saudari Nor Faezah pelajar Perubatan Tahun 5 dan saudara Mohd Irwan pelajar Perubatan Tahun 2 selaku AJK Makanan. Setelah menunaikan solat, kami meneruskan perjalanan mencari keindahan ciptaan Allah menuju ke Safari di Siwa

        Safari merupakan tour di Gurun Sahara yang mempunyai 12 check point. Di setiap check point terdapat keistimewaannya yang tersendiri tetapi kami hanya berkesempatan melawat 2 check point sahaja iaitu Kolam Air Tawar dan Kolam Air Panas. Tetapi kami sangat bersyukur kerana Allah menghadiahkan kami dengan keindahan matahari terbenam di Gurun Sahara yang jarang sekali dapat disaksikan. Kami juga dapat berseronok di Gurun Sahara dengan bermain  ‘sand surfing’ pada waktu petang. Pada waktu inilah kami dapat melihat banyak bakat terpendam daripada para peserta dimana kehebatan mereka bermain papan luncur di Gurun Sahara terserlah. Kami juga tersentuh apabila melihat pemandu yang membawa kami melalui Gurun Sahara menunaikan solat di padang pasir yang tiada sumber air itu, mereka seperti sudah mengetahui arah kiblat dan biasa dengan keadaan di situ.

         Sebelum gelap, kami disuruh pulang kerana memandangkan keadaan padang pasir yang tidak mempunyai lampu jalan akan menyukarkan pemandu untuk mencari jalan pulang tetapi berbekalkan pengalaman yang ada pemandu pajero berjaya membawa kami pulang ke Pekan Siwa’. Kami juga di sedarkan oleh pemandu-pemandu pajero itu tentang pentingnya semangat kerjasama kerana semasa dalam perjalanan kami ke ‘sand surfing’ terdapat beberapa buah pajero yang tersangkut di tengah-tengah padang pasir kemudian ada sekumpulan pajero lain memberi bantuan.






          Akhir sekali, kami menuju pulang ke tempat penginapan di siwa untuk solat dan bersiap sedia untuk makan malam. Selepas makan malam, para peserta diberi peluang untuk melakukan aktiviti kendiri di Pasar Kurma(Suk Adim) mengikut kumpulan masing-masing. Di sini terdapat pelbagai jenis kurma yang dijual, antaranya kurma yang dibuang biji, kurma coklat,kurma badam dan lain-lain lagi dengan harga yang berpatutan. Juga terdapat pelbagai kedai cenderamata yang boleh dibeli untuk orang yang tersayang di Tanta dan Malaysia


Hari Ketiga , 4/4/2014

            Explorace dan senaman aerobik merupakan aktiviti terakhir dilakukan di Matruoh pada hari terakhir jaulah. Untuk kali terakhir di Matrouh para peserta diberi kebebasan untuk berjalan-jalan dan melakukan aktiviti bebas sebelum majlis penutup dilakukan pada pukul 11.00 pagi.


          Sebelum majlis penutup, para peserta menunaikan solat dan menjamu hidangan nasi kerabu yang telah dihidangkan. Kumpulan yang  mendapat markah terkumpul tertinggi mendapat hadiah. Majlis penutup diserikan lagi dengan penyampaian puisi oleh pengarah sendiri dan bantuan Siti Hawa binti Sazali pelajar Perubatan Tahun 4.


              Selepas majlis penutup, semua peserta bergerak ke bas untuk pulang ke Tanta. Satu lagi pengajaran yang Allah hendak ajar kepada kami ialah semasa dalam perjalanan pulang ke Tanta tayar untuk bas Ikhwah meletup. Tetapi yang menakjubkan pemandu dan pelajar dapat menanganinya dengan tenang. Di dalam hidup kita perlulah menangani segala masalah yang datang dengan tenang. Alhamdulillah, kami selamat tiba di Tanta pada pukul 12.00 malam.

                Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah diberi kesempatan untuk melakukan jaulah ke Matrouh Siwa’ dan menyusuri tempat-tempat bersejarah yang ditinggalkan buat kita untuk diambil pengajaran dan ibrah. Semoga Jaulah Taken’14! ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah yang dibina antara para peserta dan sedikit sebanyak dapat mempersiapkan diri kita dalam menjadi Muslim Doktor yang mempunyai pelbagai kebolehan dan bertaqwa kepada Allah. Sekali lagi lagi jutaan terima kasih diucapkan kepada Ummi Medic Mesir, seuruh jawatankuasa pelaksana program, para peserta dan juga semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan jaulah ini. Semoga Allah memberkati jaulah ini dan jaulah ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang. Gambar-gambar jaulah boleh dilihat di Page Facebook Media MedicMesir Tanta.


Matrouh is TAKEN!
            Siwa’ is TAKEN!
                        We are TAKEN!
                                     Are you TAKEN?!
                                                                             Fantashiru,Wabtaghu,Wazkuru!


Unit Sukan & Aktiviti Luar
MedicMesir Tanta 13/14

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.